Seorang wanita hartawan bernama Zainab, mendapati suaminya iaitu Abdullah Bin Mas’ud r.a. adalah seorang yang miskin. Beliau berhajat hendak bersedekah kepada suaminya, tetapi merasa ragu sama ada perbuatannya itu diizinkan oleh syariat ataupun sebaliknya.
Pada pandangan Zainab bahawa suami adalah ibarat dirinya sendiri, oleh itu jika dia bersedekah kepada suami sendiri, bererti dia umpama berbelanja untuk diri sendiri. Disini timbul keraguan didalam diri Zainab, lantaran itu dia terus merujuk perkara itu kepada Rasulullah s.a.w.
Oleh yang demikian beliau telah menyuruh suaminya Abdullah Bin Mas’ud supaya bertemu Rasulullah, untuk bertanya hukum isteri bersedekah kepada suami. Abdullah merasa keberatan untuk menanyakan hal tersebut kepada Rasulullah, lebih-lebih lagi perkara itu menyentuh masalah dirinya. Abdullah Bin Mas’ud menyerahkan urusan itu kepada isterinya, terserah kepada Zainab untuk berhadapan dengan Rasulullah, bagi mendapatkan penjelasan.
Zainab walaupun rasa keberatan serta dalam keadaan malu, ia pun pergi ke rumah Rasulullah, sesampainya diambang pintu rumah Rasulullah didapati ada seorang wanita telah berada di situ. Setelah saling bertanya, didapati keduanya mempunyai tujuan yang sama, keduanya juga agak merasa segan-silu untuk bertemu sendiri dengan Rasulullah s.a.w.
Sedang kedua wanita itu bercakap-cakap di luar rumah Rasulullah, kebetulan lalu Saidina Bilal, lantas kedua wanita itu minta jasa baik Bilal, agar dia sudi bertanyakan bagi pihak wanita itu kepada Rasulullah s.a.w tentang hokum seorang isteri yang bersedekah kepada suaminya sendiri dan juga anak yatim dibawah jagaanya. Wanita tersebut juga berpesan agar tidak memberitahu Rasulullah tentang pengenalan dirinya, kerana mereka merasa malu jika Rasulullah mengetahuinya.
Bilal segera menemui Rasulullah s.a.w. dan menyampaikan maksud kedua-dua wanita itu. Setelah Rasulullah mendengar masalah kedua wanita itu, lalu Rasulullah s.a.w. meminta Bilal memberitahu kedua wanita itu bahawa bagi wanita yang bersedekah kepada suaminya itu akan mendapat dua ganjaran dari Allah SWT, ganjaran pahala yang pertama ialah pahala sedekah dan keduanaya ialah pahala kerabat
Bedasarkan sabda Rasulullah itu menunjukkan bahawa bersedekah kepada kerabat itu sangat dituntut. Memang sewajarnya orang yang terdekat itu diberi keutamaan di dalam pemberian sedekah kerana dengan sedekah itu akan mengeratkan lagi hubungan antara kerabat.
Kesimpulannya, walaupun Islam menyuruh sangat agar seseorang itu bersedekah kerana sedekah itu mempunyai berbagai fadhilat dan kelebihan, sehingga akan menjadi payung di Padang Masyar kelak. Namun sedekah itu bukanlah menjadi bebanan kepada sesorang, kerana sedekah itu kalau tidak disuruh oleh syarak, pasti akan dilakukan juga oleh seseorang. Sebab itu orang bukan Islam pun kadang-kadang dia besedekah juga walaupun mereka tidak tahu dosa pahala. Jadikanlah sedekah itu sebagai amalan dan budaya dalam hidup seorang muslim, kerana ia akan mengeratkan hubungan persaudaraan dan menimbulkan kasih sayang di antara orang yang bersedekah dan yang menerima sedekah. Mengukuhkan persaudaraan Islam, dan akhirnya dapat mewujudkan masyarakat Islam yang harmoni dan menjadi contoh kepada masyarakat lain, mungkin akan mendorong mereka mendekati Islam apabila melihat masyarakat Islam yang begitu cantik dan indah, hidup saling bantu-membantu.